Sub Menu
 
kata aluan pengarah
 

Selamat Datang

Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Johor (IKLAS) merupakan sebuah institusi latihan yang usianya baru setahun jagung. IKLAS masih terlalu muda. Serba serbinya masih kurang dan amat terhad. Yang ada pada IKLAS ialah semangat yang tinggi dan rangkaian hubungan yang agak mantap. Selain itu, IKLAS juga berhadapan dengan alaf baru yang penuh dengan peluang dan cabaran. Ledakan maklumat, kesejagatan, jangkaan tinggi terhadap kualiti, perkongsian bestari dan sebagainya merupakan pelbagai cabaran dan peluang yang terpaksa IKLAS hadapi dan tangani. Dalam persekitaran yang sedemikian rupa - kekuatan dan kelemahan serta ancaman dan peluang - IKLAS berusaha sedaya upaya meningkatkan prestasi dan produktivitinya untuk menjadi sebagai sebuah institusi latihan yang cekap, berkesan, unggul dan berwibawa.

Laman web ini adalah sebagai satu usaha kecil bagi menyebarkan maklumat tentang IKLAS. Ia mengandungi maklumat tentang sejarah, misi, visi, objektif, fungsi, strategi, kegiatan dan pengisian latihan IKLAS. Sesungguhnya langkah beribu batu dimulai dengan langkah pertama. Langkah awal IKLAS menghasilkan laman web ini mudah-mudahan akan memudahkan laluan untuk orang ramai memahami IKLAS, di samping untuk melebarkan lagi jaringan kerjasama IKLAS dengan pihak-pihak lain di luar institusi ini ke arah mewujudkan kesepakatan dalam pembangunan sumber manusia dalam kerangka kepimpinan.

Kesemuanya ini bertujuan mengukuhkan IKLAS dalam usaha melahirkan golongan pemimpin Johor dan negara yang cekap dan berkesan dalam kepemimpinannya, tinggi jati dirinya, kental ketahanan peribadinya dan luhur nilai murninya dalam menghadapi cabaran era teknologi maklumat dan globalisasi.